JR ENGAGEMENT MODEL (JREM): ISLAMIC REALITY TV SHOW IMAM MUDA AS INFORMAL ISLAMIC EDUCATION

Video
Abstract

Mohamad Muhidin Patahol Wasli

muhidin.pw1@gmail.com

Jabatan Kurikulum, Pedagogi dan Penilaian, Institut Pendidikan, University College London



Rancangan Realiti TV Islamik ‘Imam Muda’ yang pernah popular pada tahun 2010-2012 terbitan Astro Oasis berjaya menarik perhatian dunia dengan menonjolkan konsep Islam sebagai tonggak utama dalam rancangan realiti. Kajian keterlibatan penonton ini adalah lanjutan daripada kajian analisis kandungan rancangan Realiti TV Islamik Imam Muda Musim pertama yang telah mengklasifikasikan kandungan rancangan TV tersebut ke dalam bidang-bidang Pendidikan Islam iaitu Tilawah Al-Quran, Hadis, Aqidah, Ibadah, Sirah Nabawiyah, Adab dan Akhlak. Hasil mendapati bidang Adab dan Akhlak paling banyak dipaparkan memandangkan rancangan ini mempamerkan pembinaan karakter 10 calon Imam Muda yang bersaing dalam menyelesaikan tugas mingguan mereka sebagai seorang Imam dalam komuniti. Walau bagaimanapun, ini telah mencetuskan persoalan berkaitan dengan interpretasi kandungan tersebut daripada perspektif penonton dalam konteks Pendidikan Islam informal. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk memetakan resepsi penonton tentang kandungan Pendidikan Islam dalam bentuk informal daripada rancangan realiti Islamik Imam Muda melalui adaptasi kerangka kajian Islamic Critical Realism (Wilkinson, 2013). Kajian kualitatif yang melibatkan 10 orang peserta kajian yang terdiri daripada 6 perempuan dan 4 lelaki ini menggunakan kaedah pemerhatian berpernyertaan yang dirakam ketika menonton Kemuncak Imam Muda musim ketiga untuk analisis lanjut terhadap reaksi dan respon mereka ketika menonton rancangan TV tersebut. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa kandungan rancangan TV berunsurkan Islam ini boleh menjadi medium Pendidikan Islam informal kepada penonton Muslim. Ini adalah kerana adaptasi Islamic Critical Realism telah menyediakan panduan penilaian terhadap reaksi dan respon penonton ketika menonton rancangan sekaligus menjadi basis kepada analisis kejituan pemahaman penonton terhadap kandungan rancangan TV Imam Muda.Secara tidak langsung hasil penilaian ini boleh menjadi panduan kepada pembinaan kandungan kreatif perlu mengambil kira impak kepada penonton kerana spektrum interpretasi penonton yang luas dan mencapah. Diharapkan kajian masa akan datang boleh diadaptasi dalam kajian kuantitatif untuk melihat impak dalam skala besar dan kajian komparatif untuk melihat penerimaan kandungan TV berunsurkan Islam dari perspektif bukan muslim. 


Kata kunci: Islamic Critical  Realism, Rancangan reality TV Islamik, Imam Muda, Pendidikan Islam Informal, Critical Engagement Model


Team Member
  1. MOHAMAD MUHIDIN PATAHOL WASLI
Result