GAMIFIKASI GLOBAL UMRAHAJI GAMES (GUG)
Pelaksanaan Umrah dan Haji memerlukan pemahaman yang jelas dari segi rukun, wajib, perkara yang dilarang semasa berihram dan cara-cara mengerjakan ibadat umrah dan haji, malah. Hal ini penting agar pematuhan syariah dapat diutamakan. Walaubagaimanapun, masyarakat masih belum mempunyai pengetahuan dan ilmu yang cukup tentang kaedah pelaksanaan ibadat umrah dan haji yang betul bahkan tidak memahami dan mendalami kaedah pelaksanaan ibadat umrah dan haji dengan sebaik mungkin. Oleh itu, masyarakat perlu diberikan persediaan dan gambaran yang jelas tentang suasana dan pelaksanaan ibadat umrah dan haji itu sendiri agar patuh syariah. Masyarakat perlu memperoleh ilmu umrah dan haji yang mencukupi supaya mampu menjadi panduan ketika menunaikan ibadat umrah dan haji. Justeru, permainan Global UmraHaji Game (GUG) diperkenalkan menggunakan konsep gamifikasi untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan tentang kaedah pelaksanaan ibadat umrah dan haji yang patuh syariah secara terperinci kepada masyarakat seawal usia kanak-kanak. GUG merupakan permainan papan ilmiah patuh syariah yang bertemakan umrah dan haji bagi menerapkan konsep didik hibur (fun learning) dan interaktif dalam pendidikan ibadat umrah dan haji dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. GUG terbahagi kepada dua versi iaitu versi fizikal dan juga versi digital. Versi fizikal adalah berbentuk papan permainan dan penggunaan dadu serta kad. Manakala versi digital pula adalah berbentuk permainan menggunakan aplikasi permainan mudah alih dan aplikasi Augmented Reality (AR). GUG juga berperanan sebagai bahan atau alat bantu mengajar bagi subjek pendidikan Islam dan bahan latihan bagi kursus mutawif serta kursus haji yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan. GUG amat diyakini dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pelaksanaan ibadat umrah dan haji dengan betul agar mampu mematuhi pensyariatan umrah dan haji yang sebenar.
- PROF. DR. AZMAN AB RAHMAN
- PROF. MADYA DR. MUHAMMAD NAJIB JAFFAR
- AFAF SUKARI
- NURUL NADIA NOZLAN
- MUHAMMAD FAIZ ABD. SHAKOR
