BAYARAN YURAN SOKONGAN DALAM FRANCAIS DOBI LAYAN DIRI DARI PERSPEKTIF FIQH
BAYARAN YURAN SOKONGAN DALAM FRANCAIS
DOBI LAYAN DIRI DARI PERSPEKTIF FIQH
Mohd Huefiros Efizi bin Husain
Siswazah, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya
mohdhuefirosefizi@yahoo.com.my
Noor Naemah binti Abdul Rahman
Profesor Madya, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya
naemah@um.edu.my
Nor Fahimah binti Mohd Razif
Pensyarah Kanan, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya
norfahimah@um.edu.my
Abstrak |
Yuran sokongan francais dobi layan diri merupakan bayaran terhadap
penggunaan jenama yang dimiliki oleh pemberi francais. Bayaran tersebut perlu
ditunaikan oleh penerima francais selepas kontrak francais ditandatangani.
Bayaran ini adalah berbeza mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemberi
francais dan mestilah dipersetujui oleh penerima francais. Walaubagaimanapun,
timbul isu syariah dalam aspek pembayaran ini apabila kadar bayaran yang
ditetapkan tidak jelas. Penetapan bayaran berdasarkan peratusan tertentu
daripada hasil jualan perkhidmatan perniagaan francais membuka ruang
pertelingkahan kerana hasil jualan perkhidmatan perniagaan adalah tidak tetap
dan bergantung kepada keadaan pasaran. Oleh yang demikian, kajian ini
bertujuan untuk mengkaji yuran sokongan terhadap francais dobi layan diri menurut
perspektif fiqh. Bagi mencapai objektif kajian, kaedah kualitatif digunakan menerusi
metod perpustakaan dan metod temu bual dalam proses mengumpul data.
Seterusnya data-data yang diperolehi akan dianalisis menggunakan kaedah
deduktif dan kaedah komparatif. Hasil kajian mendapati bayaran yuran sokongan
yang ditentukan mengikut jumlah hasil jualan pendapatan francais dobi layan
diri pada kadar peratusan tertentu adalah berlawanan dengan kontrak ijarah dan mengandungi unsur gharar. Dalam kontrak ijarah, bayaran sewa merupakan
rukun kontrak dan setiap rukun terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Ketidakpatuhan
terhadap salah satu syarat rukun akan memberi kesan terhadap kesahan kontrak.
Oleh yang demikian, kajian ini mencadangkan jumlah bayaran yuran sokongan dalam
francais dobi layan diri ditetapkan dengan jelas berpandukan kadar maksimum
dan minimum hasil jualan perkhidmatan setiap bulan mengikut peratusan yuran
sokongan sedia ada.
|
Kata kunci |
Yuran sokongan, ijarah,
francais, gharar.
|
- MOHD HUEFIROS EFIZI BIN HUSAIN
- NOR FAHIMAH BINTI MOHD RAZIF
- NOOR NAEMAH BINTI ABDUL RAHMAN
