MODEL E-PENILAIAN BERSEPADU KELAS AL-QURAN DAN FARDUAIN (KAFA)
Model e-penilaian Bersepadu Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) merupakan penilaian yang komprehensif di peringkat sekolah rendah fasa pandemik COVID-19. Penilaian pentaksirannya secara maya dan berterusan sepanjang tahun melibatkan sembilan mata pelajaran KAFA iaitu akidah, ibadah, sirah, akhlak, bahasa arab, jawi, khat, tilawah al-Quran dan tajwid, hafazan serta amali. Keunikan model ini terselah dengan pelaksanaan penilaiannya yang terdiri daripada aspek penilaian sumatif dan formatif merangkumi tiga elemen utama iaitu menguji tahap kefahaman pelajar, menilai kemahiran penulisan dan kemahiran hafazan serta amali. Ketiadaan platform yang seragam menyebabkan proses penghantaran tugasan murid kepada guru menjadi tidak sistematik. Perkara ini menyukarkan penilaian guru untuk memantau, menyemak, dan memberi maklum balas terhadap setiap tugasan yang diserahkan. Rekabentuk kajian berbentuk kualitatif, pengumpulan data dibuat melalui temubual bersama pihak pengurusan serta guru KAFA. Data yang diperoleh dianalisis berdasarkan metode induktif dan deduktif. Objektif pembangunan model e-penilaian bersepadu KAFA bertujuan mengumpulkan semua bahan penilaian dalam satu platform secara teratur dan pantas, menyeragamkan pemaparan penilaian untuk memudahkan semua pihak termasuk guru, murid dan ibubapa. Pelaksanaan model e-penilaian bersepadu KAFA mengaplikasikan pentaksiran alternatif yang diukur melalui pengetahuan terhadap amalan pentaksiran bilik darjah, kesedaran terhadap kepelbagaian pelajar, refleksi, motivasi dan pengurusan rekod. Justeru model berupaya menjadi perintis dan panduan yang boleh digunakan oleh semua pendidikan KAFA di seluruh negara dan secara tidak langsung mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Islam dan memenuhi Sustainable Development Goals (SDG) dalam kluster pendidikan berkualiti berasaskan pembangunan modal insan dan Maqasid Syariah. |
- SHOFIYYAH BINTI MOIDIN
- DR. AMIRATUL MUNIRAH YAHAYA
- DR. MOHD ASMADI YAKOB
- WAN MUHAMAD SYAHMI NAQIUDDIN MOHD AZIZIM
- DR. MURIHAH ABDULLAH
- DR. HAJARUL BAHTI ZAKARIA
